Untuk membeli sebuah biola gred pelajar – yakni violin dalam bahasa Portugis; alat muzik ini telah dibawa ke Tanah Melayu sewaktu penjajahan kuasa Eropah ini pada kurun ke-16, harganya sekitar RM500. Yuran bulanan di sekolah muzik berada di sekitar RM120. Harga notasi muzik, buku teori, dan sebagainya, lebih kurang RM200 setahun. Itu tidak termasuk yuran peperiksaan muzik yang mencecah ratusan ringgit saban tahun. Para pembaca sekalian, sekiranya 10 tahun (dan jumlah ini hanyalah fantasi; seniman sejati tidak pernah berhenti belajar) diperlukan untuk menghasilkan satu seniman agung dalam bidang muzik, berapa ramaikah golongan yang mampu untuk belajar muzik?
Saya memohon maaf, tetapi saya ingin mengubah soalan saya di atas, berapa banyakkah anak-anak muda kita yang mungkin berbakat telah ditutup peluangnya untuk mempelajari keindahan ilmu muzik itu sendiri?
Faktor pertama yang menjadi kekangan dalam pembelajaran muzik ialah beban kewangan. Seperti situasi yang dinyatakan di atas, rama. Sungguh sedih melihat anak bangsa yang begitu berbakat dinafikan peluangnya untuk menguasai ilmu seni kerana kurangnya kemahiran asas dalam bidang muzik. Kos untuk memperoleh alat muzik agak tinggi; berapa banyakkah mampu membeli biola sedangkan wang pendapatan boleh digunakan untuk tujuan lain; seperti televisyen plasma dan sebagainya?
Faktor kedua adalah kurangnya guru-guru muzik yang sensistif tentang sejarah muzik. Cubalah tanya murid-murid sekolah tentang pelajaran muzik, berapa ramaikah yang tahu sejarah muzik dan sebagainya? Adakah mereka didedahkan dengan muzik orkestra, koir (padu suara), atau muzik tradisional. Sekiranya mereka tidak tahu, bagaimanakah mereka boleh menilai?
Faktor ketiga adalah budaya separuh masak dalam penghasilan muzik. Ramai golongan pemuzik tidak mahu membaiki teknik permainan atau gubahan. Golongan-golongan ini sangat cepat berpuas hati dengan apa yang mereka tahu, daripada apa yang mereka tidak tahu. Golongan ini selalunya tidak berupaya menghasilkan pemuzik yang lagi kompeten dari mereka kerana mereka tidak mempunyai ilmu permainan muzik yang mendalam.
Faktor keempat adalah kesan perniagaan mempengaruhi keputusan dalam seni. Dunia seni (bukan dunia hiburan popular) pada hari ini sangatlah dipengaruhi oleh kuasa-kuasa perniagaan dan elemen-elemennya seperti permintaan dan penawaran; contohnya mahukan persembahan perlulah menepati suatu ciri-ciri yang dikehendaki. Dalam erti kata lain, seni perlu mengalami proses-proses ala ISO untuk diberi pengikitirafan, peluang mempersembahkan karya, dan sudah tentunya modal untuk menghasilkan sesuatu ciptaan baru. Seni pada hari ini tidak lagi menjadi kehendak seniman (ya, semua jenis seni) namun kehendak pasaran. Seni tidak lagi menjadi satu wadah penghasilan estetika, tetapi lebih kepada medium menonjolkan identiti dan lubuk rezeki. Sembilan simfoni karangan Franz Schubert, seniman (pekerjaan sebenarnya ialah guru sekolah) Jerman di zaman Romantik (kurun 19), tidak pernah didengari atau dipersembahkan oleh komposernya sendiri semasa hidupnya; tragis tetapi mengapakah beliau sanggup menulis sembilan karya muzik yang berskala besar?
Faktor kelima adalah keegoan kita untuk mengakui bahawa kita tidak cukup ilmu dalam bidang seni. Sedangkan karya-karya penulisan tidak dititikberatkan di sekolah (apakah gunanya sekiranya sastera dijawab secara objektif; sesiapapun boleh teka jawapannnya), apatah lagi karya-karya agung seni muzik. Tetapi apabila masyarakat yang boleh mendengar tetapi tidak tahu. Apa gunanya menyimpan muzik sebanyak 50,000 lagu di dalam iPod atau mp3 tetapi muzik itu hanya mampu menghiburkan kita, tetapi tidak membuat kita berhenti, mendengar dan berfikir sejenak…… Indahnya ciptaan Ilahi, untuk kita membezakan antara kicau burung dan aliran sungai yang menginspirasi sesuatu melodi. Muzik telah dipelajari di barat sejak 2000 tahun yang lalu (Pytahgoras a²=b²+c² ingat, tetapi beliau juga memulakan dasar talaan bunyi untuk kegunaan hari ini). Bagaimanakah kita untuk menguasai ilmu ini sekiranya hanya tahu memegang gitar untuk menghasilkan kord tetapi bukannya polifoni.
Tidakkah kita berasa aneh apabila seniman Melayu agung seperti P Ramlee masih tidak dapat dicari ganti setelah 53 tahun merdeka? Adakah kita benar-benar memerlukan program pencarian bintang P Ramlee; peserta yang meniru bulat-bulat gaya P Ramlee dari segi pakaian, interpretasi lagu, mimik muka, jenaka dan segalanya tentang legenda ini. Adakah ini akan menghasilkan pengganti P Ramlee? Tidakkah kita terfikir bahawa bakat muzik perlu diasah sejak kecil, terutamanya melalui pendidikan formal? Kesimpulannya, janganlah kita merasa terkilan apabila kita tidak mampu melahirkan seniman agung sedangkan ilmu tentang pelayaran seni masih tidak kuasai. Izinkan saya mengupas sepatah dua kata oleh seniman agung Malaysia itu pada satu temubual yang didokumentasikan sewaktu beliau masih hidup (baru sekarang mahu tayang):
“Pendidikan muzik harus diajar sejak kecil…. Sekiranya tidak diajar tentang lagu-lagu tradisional, dalam 20-30 tahun akan pupus.” – P Ramlee
Namun persoalannya, adakah beliau hanya kita mengajar tentang lagu semata-mata; bagaimana dengan instrumentasi, ensembel, teknik persembahan, sejarah, dan sebagainya? Marilah kita hayati maksud tersirat beliau ini.