Oleh Ahmad Aliff Yusof
Muzik boleh didefinisikan sebagai cabang seni yang melibatkan pengolahan dan pengorganisasian tenaga bunyi. Seni muzik meliputi banyak perkara yang amat berkait rapat dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh, muzik digunakan dalam nyanyian, tarian, majlis, upacara adat istiadat, keagamaan, perniagaan dan sebagainya. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa manusia dan muzik tidak dapat dipisahkan.
Walaubagaimanapun, pembelajaran muzik di Malaysia seringkali tidak dipandang dengan serius. Pendidikan seni muzik yang diajar di sekolah kebangsaan hanyalah diwajibkan sehingga Darjah Enam. Seringkali kita mendengar bahawa kelas muzik hanyalah tertumpu kepada aspek nyanyian dan permainan rekorder [aspek ritma kebiasaannya tidak ditekankan langung]. Seringkali juga kita mendengar bahawa kelas muzik untuk Darjah Enam digantikan dengan salah satu subjek peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sesetengah sekolah. Lebih buruk daripada itu, golongan pendidik pernah mencadangkan untuk menggantikan kelas muzik untuk kelas intensif bahasa Inggeris. Ironinya, pelajar-pelajar sekolah rendah inilah yang akan mengisi tempat ahli politik, pendidik, golongan profesional, ibu bapa, dan yang juga akan mengajar Negaraku untuk generasi akan datang. Adakah kita benar-benar perlu mengorbankan masa dan hak mereka – untuk menerokai dan memahami ilmu tentang bunyi di sekeliling mereka – demi menjadikan mereka lebih cekap bertutur dan menulis? Adakah kita hanya mahukan generasi yang hanya ada gaya tetapi tiada pengisian diri?
Tidak semua pelajar ini akan mampu menyambung pengajian muzik mereka di sekolah menengah. Kebanyakannya tidak mampu untuk menyertai kelas muzik di sekolah-sekolah muzik swasta. Ada segelintir yang bernasib baik berpeluang menyertai kelab-kelab muzik atau pancaragam sekolah. Antara faktor utama yang menghalang pengajian muzik adalah kos. Sebagai contoh, seseorang yang ingin mempelajari muzik perlu mengeluarkan wang untuk membeli peralatan muzik dan bahan pembelajaran, membayar yuran pengajian serta kos pengangkutan untuk mempelajari ilmu muzik. Kesemua ini memerlukan kos yang sangat tinggi dan tidak semua ibu bapa mampu melabur dalam pendidikan muzik. Lebih menyedihkan lagi, ada segelinitir ibu bapa yang mampu tidak sanggup untuk mengeluarkan wang untuk pembelajaran muzik kerana ia dianggap membazir. Perkara yang boleh disoalkan di sini adalah; berapakah bayaran yang perlu dijelaskan untuk menjadikan seseorang individu itu berdisiplin, prihatin, jujur, sabar, kreatif, artisitik, dan sebagainya? Di sini, kita boleh melihat bahawa wang ringgit tidak mampu menghasilkan nilai-nilai tersebut; dan nilai-nilai ini ialah sifat asas yang perlu ada dalam muzik.
Selain daripada kos yang tinggi, persepsi negatif di kalangan segelintir ibu-bapa, guru, dan masyarakat terhadap pendidikan muzik menghalang individu yang berkemungkinan berbakat. Mereka beranggapan bahawa muzik tidak mempunyai masa hadapan dan menjamin pendapatan yang lumayan. Selain itu, bidang ini juga kadangkala dianggap sebagai pilihan terakhir untuk mereka yang kecundang dalam akademik. Persoalan yang pertama, adakah golongan ini tahu tentang masa hadapan; mungkinkah mereka mempunyai kepakaran menilik nasib dalam bebola kristal? Persoalan seterusnya, adakah pemuzik perlu didefinisikan sebagai orang yang lemah tentang ilmu-ilmu lain; Al-Khindi, Albert Einstein, Pythagoras serta banyak ilmuan lain yang juga seorang pemuzik? Antara kerjaya yang dianggap popular di Malaysia adalah doktor, jurutera, peguam, guru, dan sebagainya. Namun berapa ramaikah ibu bapa yang mampu mendengar impian anak mereka untuk menjadi insan seni? Kita mengetahui bahawa pembelajaran muzik yang serius tidak menjamin seseorang individu akan menjadi seorang penggiat seni mahupun bintang ternama. Walaubagaimanapun, nilai-nilai murni yang telah diterapkan dalam pendidikan muzik itu tadi mampu menjadikan mereka doktor yang lebih mendengar, jurutera yang lebih peka, peguam yang lebih konsisten, dan guru yang lebih kreatif.
Kesimpulannya, Malaysia masih lagi ketinggalan dalam menghasilkan ilmuwan muzik yang mempunyai gabungan antara kebijaksanaan minda, kelembutan jiwa, dan kemahiran teknik permainan yang mengkagumkan. Kita tidak boleh menyalahkan muzik kerana melalaikan generasi muda dan membuatkan mereka terjebak di dalam gejala sosial; kerana segala bentuk hiburan telah dianggap muzik dan kita telah menyajikan mereka dengan ideologi ini sejak kecil. Bidang seni, terutamanya bidang muzik haruslah difahami secara tepat tanpa sebarang prejudis dan syakwasangka kerana muzik dilihat melalui telinga, dimainkan melalui hati. Pembelajaran muzik haruslah dilihat sebagai wahana pengisian hidup seseorang manusia yang tidak dapat digantikan dengan wang ringgit. Marilah kita renungi kata-kata pujangga ini; “Semua orang akan mati; tetapi tidak semua orang hidup.”
© 2010 Ahmad Aliff Yusof. Hak Cipta Terpelihara.
November 10, 2010 at 7:24 am |
Yap..skong sgt. Bnyk skolh tak pikir kn muzik sbg 1 cabang kerjahya yg elok..trmasuk ibu bapa. Sayang bakat2 dlm dri plaja tak dpt di tonjol kn